DOSA DALAM FACEBOOK
Petikan Metro 9 Mei 2010
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM
Ada beberapa cara penggunaan boleh menyebabkan menjadi haram
Sejak empat bulan terbabit dalam menyampaikan mesej kebaikan dan melarang kemungkaran melalui Facebook, disedari ada beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan itu kepada haram, malah berganda-ganda haramnya. Disini, saya senaraikan enam perkara :
Mendedah keaiban suami atau isteri di facebook
Ada beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau sebaliknya, pemilik Facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci atau marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status Facebook.
Kemudian, status terbabit mendapat pelbagai komentar pelbagai komentar daripada rakan masing-masing. Sebagai contoh, ada secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebagainya. Tertekanlah suami serta serba salah.
Sebagaimana disebut oleh pakar di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban ditanggung. Pendedahan itu pula mungkin sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun tanpa disedari, perbuatan itu tergolong dalam mengumpat yang diharamkan Islam. Semua perlu faham, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya bercerita perihal rumah tangga atau pasangan secara terbuka, sama ada melalui Facebook, rakan di pejabat dan sebagainya.
Sebarang masalah yang tidak dapat di selesaikan olehnya hanya dibenar diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai kuasa seperti ibu bapa, mentua, dan adik-beradik yang boleh membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan.
Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti kadi, mufti, ilmuan,ustaz, ustazah atau kaunselor rumah tangga.
Pendedahan masalah dan maklumat yang boleh mengaibkan pasangan TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui Facebook.Apabila dilakuka, ia dengan mudah boleh mengundang dosa.
Terlebih gambar
Ramai wanita hari ini mempunyai Facebook. Mungkinmenjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami kelihatan pasangan mereka memberi sepenuh keredaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khayalak tanpa rasa cemburu dan prihatin.
Lebih membahayakan, ramai pula lelaki menontonnya, sebahagiannya memberi pujian, malah ada yang berani bergurau senda serta membuat ‘lamaran’ nafsu.
Lebih pelik, tuan punya Facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadamkan sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan saja lamaran nafsu itu di ruangan komentar gambarnya tanpa rasa serba salah.
Mereka berterusan bercanda melalui ruang komentar. Ia tetap BERDOSA serta SALAH di sisi Islam dan termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina’.
Penyamaran
Ada lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi ‘friend’ dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Pernah dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan, akibat si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar wanita itu.
Bagi membolehkannya mendapatkan akses, ada lelaki mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh ditemui secara mudah bertebaran di Internet dan diletakkan sebagai dirinya.
Akhirnya, penyamaran terbabit berjaya menjadi rakan dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar berkenaan.
Kerana itu, walau anda hanya membenarkan rakan untuk menatapnya, pastikan semua gambar itu masih terhad dan terjaga.
Muat turun gambar untuk simpanan dan tatapan
Dimaklumkan juga, akibat gambar wanita terlalu ‘bersepah’ di Facebook, ada lelaki berhati buas memuat turun gambar terbabit untuk dijadika koleksi peribadi.
Justeru, sedarlah mana-mana wanita yang dikurniakan Allah SWT dengan ‘rupa’ yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini perlu berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian. Simpan saja gambar comel anda.
Adakah anda terlampau tidak sabar? Sedarlah, kekecomelan anda mungkin menjadikan sebuah rumah tangga hancur serta cemburu wanita lain kerana boleh wujud gejala suami membandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya.
Jika itu berlaku, pemilik gambar itu mendapat saham dosa.
Tandakan gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat
Tandaan sesuatu gambar yang disiar adalah satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang, termasuk diri sendiri, kepada kenalan dan rakan. Malangnya, fungsi itu menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini.
Ini kerana, wujud ikutan menyebarkan gambar lama dan kemudia meletakkan tandaan kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang ditanda akan muncul dan boleh dilihat oleh semua rakan.
Ini boleh menjadi dosa kerana :
a. Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin duluya tidak menutup aurat tetapikini melakukannya. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b. Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri. Akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat menyebabkan gambarnya yang sedemikian tersebar.
Sepatutnya, kita yang ditanda boleh dengan segera memadamnya. Hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin.
c. Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu,walaupun menutup aurat, tetapi di dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkan kerana dia dalam keadaan baik dan bagus.
Namun rakannya pula berada dalam situasi mengaibkan, tambahan puladia kini ‘seseorang’ yag terhormat dan punyai kedudukan baik di mata masyarakat. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya.
Mengutuk diri sendiri dan kebaikan
Adakalanya ada juga wanita berpenampilan solehah dan berpakaian sepatutnya dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolah.
Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan, imejnya berubah begitu drastik dengan solekan jelas menghias wajah, berpakaian seksi dan sebagainya yang tidak sopan.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian sopan di Facebook, tuan punya tubuh kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri samada secara langsug atau sebaliknya.
Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku extreme’,zaman solehah, zaman suci, itu zaman kuno dan lain-lain frasa yang sepertinya. Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban diri sendiri. Ia juga sekali gus seolah-olah mengutuk pemakaian sopan dirinya suatu masa lalu.
Kesimpulan
Itulah Facebook, ia boleh menjadi sumber paha jika diguna dengan betul dan boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu serta limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik Facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda diantara suami dan isteri orang, juga antara lelaki dan wanita bukan mahram.
Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumah tangga. Jangan lagi mempermainkan nama ukhwah untuk berbuat dosa.